Thursday 5 April 2012

Perginya Seorang Ibu

Hari ini dah 5 April 2012. Sudah seminggu abah & mak berada di tanah suci mengerjakan umrah. Tapi ketika mereka baru 3 hari di sana, kami di sini dikejutkan dengan sebuah berita sedih. Satu-satunya nenek yang kepada adik-beradik saya yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah pada petang 1 April 2012. Innalillahiwainnailaihirojiun..

Ketika berita diterima, kami sekeluarga baru sahaja memulakan perjalanan pulang ke Klang, dari kampung isteri di Sungai Besar Kami menerima berita sedih itu dengan tabah, tetapi teringat pula pada abah & mak di sana. Arwah nenek adalah mak kepada mak saya. Bagaimana hendak menyampaikan berita sedih ini kepada mereka?

Saya pun kuatkan semangat, telefon abah. Sewaktu itu mereka semua baru sahaja selesai mengerjakan solat Zuhur dan sedang menikmati makan tengahari. Mak menerima beri sedih ini dengan tabah. Nak pulang untuk meratap buat kali terakhir memang agak mustahil, cuma dapat kirimkan doa buat arwah nenek dari sana.

Arwah nenek meninggalkan kami pada usia 92 tahun. Dalam adik-beradik saya, hanya abang Jeff yang sempat mengenali arwah datuk. Alhamdulillah Allah kurniakan umur yang panjang buat arwah nenek. Di hujung usianya, arwah nenek dah tak mampu bercakap. Kalau semasa sihat dulu, memang longhat minang lah yang digunakan. Sampai saya pun terikut-ikut kalau berbual dengan nenek. Kalau ada masa lapang sewaktu belajar di UIA dulu, saya akan melawat nenek. Kadang-kadang ada rakan yang mengikut sekali, tapi yang seronoknya masing-masing tak boleh apa yang arwah nenek bualkan. Mana taknya, loghat minang arwah nenek memang pekat, yang datang pula orang Shaq (Penang), Bob (Johor), Nasir (Kelantan) dan lain-lain. 'Mat, tok hang cakap apa?' tanya Shaq. Haha.. expert sangat bahasa Utara sampai yang lain tak faham.

Dari kiri - Pak Long, Mak Lang, arwah Datuk, Mak, arwah Nenek, Mak Tam, Mak Anjang & arwah Pak Ngah (gambar kredit untuk Mamat sepupuku)
Bila bercakap berkenaan usia arwah nenek, memang satu usia yang agak jarang dimiliki pada zaman sekarang. Tapi apa yang saya nampak, sebenarnya Allah dah bagi ruang yang banyak pada anak-anak dan cucu-cucunya, mungkin kesempatan untuk berbakti kepadanya, sebagai membalas jasanya membesarkan anak-anak. Semasa muda, arwah nenek hanya membuat kerja-kerja kampung, dia pernah mengambil upah bekerja di rumah orang, bercucuk tanam, bersawah dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, dia akan berusaha untuk memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna. Alhamdulillah saya dapat mengenali nenek sejak dia masih sihat, bertongkat, berpapah, hinggalah ke hujung usianya.

Itu cerita arwah nenek, bagaimana dengan mak kita sendiri? Adakah kita tahu bila saat terakhir ibubapa kita? Adakah kita telah beri yang terbaik buat mereka? Adakah kita terlalu asyik dengan aktiviti harian kita sahaja? Setakat mana yang telah kita berikan kepada orang yang telah bersusah payah membesarkan kita? Berapa banyak masa yang dapat kita luangkan bersama mereka tatkala kita sibuk bekerja? Berapa banyak duit belanja yang kita berikan kepada mereka tatkala kita pening nak membayar hutang sendiri? Pernah ke mereka kata - 'Duit belanja kamu abah & mak bagi bulan depanlah ye, bulan ni banyak benda nak kena bayar'. Adakah RM500 yang kita kirimkan kepada ibubapa kita setiap bulan itu cukup? Cuba bahagi dengan 30 hari dan bandingkan dengan berapa banyak perbelanjaan harian kita? Itupun kalau RM500, kalau kurang dari itu berapa sangatlah yang kita beri sebenarnya?

Kalau ketika ini kita dapat luangkan masa dengan mereka saat diperlukan, atau dapat memberi tanpa sebarangan rungutan, Alhamdulillah. Tapi kalau rasa masih banyak yang perlu diperbaiki, buatlah sesuatu. Sesuatu yang mungkin boleh memberi ruang kepada kita untuk luangkan masa bersama mereka. Saya hendak jadi kaya, kaya dengan masa supaya dapat diluangkan bersama orang-orang yang tersayang, kaya dengan harta supaya boleh berbakti kepada orang yang memerlukan, kaya dengan ilmu supaya dapat membantu dan membimbing orang ke jalan yang benar, dan kaya dengan amal ibadah untuk bekalan di akhirat nanti. Ingatlah, kita juga tidak tahu bila masa kita akan kembali kepadaNya.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hapsah binti Nordin yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga ruhnya dicucuri rahmat, aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah..