Monday 23 April 2012

Celik Mata Hati

Tamat sudah satu lagi minggu di tahun 2012. Isnin menjelang tiba, yang bekerja akan kembali bekerja, begitu juga yang masih bersekolah. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk terus bernafas di muka bumi Allah ini. Sepanjang 1-2 minggu ni, macam-macam aktiviti dan lokasi yang dituju. Penat naik motor, naik kereta, penat naik kereta, naik motor semula, hehe.. Netbook pulak tiba-tiba buat hal. Kalau dulu rajin nak repair sendiri tapi sejak bekerja sendiri ni rasa tak cukup masa pulak. Mujurlah ada adikku Farid jadi penyelamat keadaan. Selamat duit abangmu dari menjengah iPad, hehe..

Tapi aktiviti yang paling berharga adalah yang berlaku pada dua hari yang lepas (Sabtu & Ahad). Terima kasih kepada isteri tersayang kerana 'sponsor' ke program 'Mukmin Professional' anjuran Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Hadiah harijadi yang akan datang katanya, hehe.. Thanks ma!! Bukan calang-calang orang yang memberi ceramah, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Ustaz Mohd Nasib Zawawi. Siapakah mereka? Tanyalah pakcik google kalau tak kenal :p

Sepanjang dua hari menyertai program ini, sangat banyak perkara yang saya pelajari. Walaupun boleh dikatakan hampir 70% isi kandungan program ini telah saya pelajari dari sifu-sifu yang banyak mengajar saya erti perniagaan dan kehidupan - Muhathir, Norwan, Keon, Zuraimi, Sim, Zack dan ramai lagi, tapi program ini agak istimewa kerana ianya memfokuskan untuk kita 'Celik Mata Hati' dan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dalam kita menjalani kehidupan seharian, dengan menjadikan 'Kerja Sebagai Ibadah', supaya kita mendapat kesenangan dan ketenangan di dunia, disamping mendapat keredhaan Allah dengan mengurniakan Syurga buat kita.

Bersama Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Program ini telah disampaikan dengan sangat berkesan oleh mereka. Secara kesimpulannya, apabila kita bekerja kerana Allah, untuk berkhidmat kepada manusia, kita bukan sahaja dijanjikan sumber rezeki dan keuntungan yang halal lagi baik, malah akan turut diberi ganjaran dalam bentuk pahala dan keredhaan Allah sekaligus.

"Tidak aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaKu"
(Surah Az-Zariyat, ayat 56)

Banyak perkara yang perlu kita ambil kira akan tetapi bagaimana caranya? Perkara utama yang perlu untuk kita bermula adalah dengan mengubah sikap menjadi seorang yang POSITIF!! 

Orang yang mempunyai sikap positif adalah ;
1. Yakin terhadap diri
2. Mampu melihat positif terhadap orang lain
3. Dapat melihat peluang dalam setiap keadaan
4. Fokus pada penyelesaian, bukan pada permasalahan
5. Punya dorongan yang tinggi untuk memberi
6. 100% memikul tanggungjawab

Akan tetapi, pokok pangkalnya bermula dari hati. Kenapa?

"Ketahuilah dalam tubuh anak Adam ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah daging itu adalah HATI"
(Riwayat al-Bukhari)

Kalau nak cerita semua panjang sangat. InsyaAllah saya akan kongsikan ilmu yang ada sedikit demi sedikit di masa akan datang, supaya kita semua sama-sama mendapat manfaat daripadanya. Semoga ilmu yang bermanfaat akan menjadi bekalan kita selepas mati nanti.


p/s: nak ubah kehidupan yang dah dilalui lebih 30 tahun memang sesuatu yang sangat sukar, tapi kalau bukan sekarang, bila lagi?

Wednesday 11 April 2012

Solat Di Awal Waktu

Peringatan kepada diri sendiri dan rakan-rakan sekelian..

Apa Hebatnya Solat Di Awal Waktu?
 
Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Rasanya fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul kan?



SUBUH

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


ZOHOR
 
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

 
ASAR

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ini jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.
 

MAGRIB

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

 
ISYAK

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

 
QIAMULLAIL

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Wallahua'lam..


Sumber : www.facebook.com/ustaznasir

Friday 6 April 2012

Berfikir Dengan Bijak

Hari ni terpaksa 'bercuti seketika' dek kerana demam selsema. Nak keluar memang tak selesa la dengan hidung yang 'overflow' ni, ditambah pula dengan kepala yang berapa stabil. Tapi masalahnya dah terbiasa ke sana sini, bila duduk rumah rasa macam pelik. Hehe.. sampaikan nak lelap mata pun tak boleh. So, better buat benda yang berfaedah kan.

Nak buat apa? Baca buku lah! Kalau dulu jangan kata buku, surat khabar pun malas nak baca. Kalau orang minat sukan pasti selak belakang sekali, kalau yang minat politik pasti bahagian depan sikit, tapi saya cuma minat kereta dan superbike, bukan hari-hari ada, hehe.. Tu yang jadi kurang minat nak menyelak surat khabar, cuma kadang-kadang tu baca lah juga, nak tahu perkembangan semasa.

Baru-baru ni semasa menunggu masa abah & mak 'check-in', sempat lah singgah di sebuah kedai buku di KLIA tu. Labur sedikit duit untuk tambah ilmu dan memajukan diri apa salahnya kan. Belek punya belek, terjumpa satu buku - How Successful People Think by John C.Maxwell.



Mengapa perlu ubah cara berfikir?

Mengubah cara berfikir sebenarnya tidak berlaku dengan sendirinya. Idea yang baik jarang muncul dengan tiba-tiba kepada orang yang tidak memikirkannya. Nak dapat idea yang baik, kita perlu mencarinya, dan untuk menjadi pemikir yang baik, kita kena lah berusaha. Bila dah boleh berfikir dengan baik, barulah idea datang mencurah-curah. Tapi bukan mudah untuk mengubah cara pemikiran kita. Albert Einstein pernah berkata,

 "Berfikir itu bukan kerja mudah, sebab itulah terlalu sedikit orang yang melakukannya"

Disebabkan berfikir itu kerja yang begitu sukar, kita patut menggunakan semua alat bantu yang dapat membantu kita. Seorang penulis, Napoleon Hill pula berkata,

"Lebih banyak intan permata yang dikorek daripada pemikiran manusia berbanding mana-mana lombong di dunia"

Apabila kita luangkan masa belajar mengubah cara berfikir dan menjadi pemikir lebih baik, kita sebenarnya melabur untuk diri sendiri. Pasaran saham mungkin akan menjunam jatuh, pelaburan hartanah mungkin tak menjadi, tapi pemikiran yang bagus tidak akan ketandusan, memang sangat tidak ternilai harganya!


Bagaimana nak berfikir dengan lebih baik?

1. Dedahkan diri kepada input yang baik - membaca, mendengar dan meluangkan masa dengan pemikir yang baik.
2. Dedahkan diri ahli fikir yang baik - dampingi orang yang betul, orang yang sentiasa positif pemikirannya dan letak diri di dalam persekitaran yang positif.
3. Pilih untuk menghasilkan buah fikiran yang baik - luangkan masa di tempat yang sesuai untuk berfikir seketika, supaya dapat memberi fokus pada matlamat.
4. Bertindak - wira perang dunia ke-2, Eddie Rickenbacker berkata "Formula kejayaan hanya mempunyai enam perkataan : Fikir betul-betul, kemudian ambil tindakan"
5. Biarkan emosi mencipta buah fikiran yang lebih baik - jika mahu menunggu sehingga diri terasa mahu melakukannya, memang kita tak mungkin mencapainya. Jangan hadkan pemikiran kita dengan berkata TIDAK!
6. Ulangi proses di atas - kejayaan datang kepada mereka yang punya segunung emas, yang telah mereka lombong secara berterusan, bukannya orang yang menemui seketul emas dan cuba hidup dengan emas itu selama 50 tahun!

Ada impian dan cita-cita? Berfikirlah dengan bijak dan bertindak!!

Thursday 5 April 2012

Perginya Seorang Ibu

Hari ini dah 5 April 2012. Sudah seminggu abah & mak berada di tanah suci mengerjakan umrah. Tapi ketika mereka baru 3 hari di sana, kami di sini dikejutkan dengan sebuah berita sedih. Satu-satunya nenek yang kepada adik-beradik saya yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah pada petang 1 April 2012. Innalillahiwainnailaihirojiun..

Ketika berita diterima, kami sekeluarga baru sahaja memulakan perjalanan pulang ke Klang, dari kampung isteri di Sungai Besar Kami menerima berita sedih itu dengan tabah, tetapi teringat pula pada abah & mak di sana. Arwah nenek adalah mak kepada mak saya. Bagaimana hendak menyampaikan berita sedih ini kepada mereka?

Saya pun kuatkan semangat, telefon abah. Sewaktu itu mereka semua baru sahaja selesai mengerjakan solat Zuhur dan sedang menikmati makan tengahari. Mak menerima beri sedih ini dengan tabah. Nak pulang untuk meratap buat kali terakhir memang agak mustahil, cuma dapat kirimkan doa buat arwah nenek dari sana.

Arwah nenek meninggalkan kami pada usia 92 tahun. Dalam adik-beradik saya, hanya abang Jeff yang sempat mengenali arwah datuk. Alhamdulillah Allah kurniakan umur yang panjang buat arwah nenek. Di hujung usianya, arwah nenek dah tak mampu bercakap. Kalau semasa sihat dulu, memang longhat minang lah yang digunakan. Sampai saya pun terikut-ikut kalau berbual dengan nenek. Kalau ada masa lapang sewaktu belajar di UIA dulu, saya akan melawat nenek. Kadang-kadang ada rakan yang mengikut sekali, tapi yang seronoknya masing-masing tak boleh apa yang arwah nenek bualkan. Mana taknya, loghat minang arwah nenek memang pekat, yang datang pula orang Shaq (Penang), Bob (Johor), Nasir (Kelantan) dan lain-lain. 'Mat, tok hang cakap apa?' tanya Shaq. Haha.. expert sangat bahasa Utara sampai yang lain tak faham.

Dari kiri - Pak Long, Mak Lang, arwah Datuk, Mak, arwah Nenek, Mak Tam, Mak Anjang & arwah Pak Ngah (gambar kredit untuk Mamat sepupuku)
Bila bercakap berkenaan usia arwah nenek, memang satu usia yang agak jarang dimiliki pada zaman sekarang. Tapi apa yang saya nampak, sebenarnya Allah dah bagi ruang yang banyak pada anak-anak dan cucu-cucunya, mungkin kesempatan untuk berbakti kepadanya, sebagai membalas jasanya membesarkan anak-anak. Semasa muda, arwah nenek hanya membuat kerja-kerja kampung, dia pernah mengambil upah bekerja di rumah orang, bercucuk tanam, bersawah dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, dia akan berusaha untuk memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna. Alhamdulillah saya dapat mengenali nenek sejak dia masih sihat, bertongkat, berpapah, hinggalah ke hujung usianya.

Itu cerita arwah nenek, bagaimana dengan mak kita sendiri? Adakah kita tahu bila saat terakhir ibubapa kita? Adakah kita telah beri yang terbaik buat mereka? Adakah kita terlalu asyik dengan aktiviti harian kita sahaja? Setakat mana yang telah kita berikan kepada orang yang telah bersusah payah membesarkan kita? Berapa banyak masa yang dapat kita luangkan bersama mereka tatkala kita sibuk bekerja? Berapa banyak duit belanja yang kita berikan kepada mereka tatkala kita pening nak membayar hutang sendiri? Pernah ke mereka kata - 'Duit belanja kamu abah & mak bagi bulan depanlah ye, bulan ni banyak benda nak kena bayar'. Adakah RM500 yang kita kirimkan kepada ibubapa kita setiap bulan itu cukup? Cuba bahagi dengan 30 hari dan bandingkan dengan berapa banyak perbelanjaan harian kita? Itupun kalau RM500, kalau kurang dari itu berapa sangatlah yang kita beri sebenarnya?

Kalau ketika ini kita dapat luangkan masa dengan mereka saat diperlukan, atau dapat memberi tanpa sebarangan rungutan, Alhamdulillah. Tapi kalau rasa masih banyak yang perlu diperbaiki, buatlah sesuatu. Sesuatu yang mungkin boleh memberi ruang kepada kita untuk luangkan masa bersama mereka. Saya hendak jadi kaya, kaya dengan masa supaya dapat diluangkan bersama orang-orang yang tersayang, kaya dengan harta supaya boleh berbakti kepada orang yang memerlukan, kaya dengan ilmu supaya dapat membantu dan membimbing orang ke jalan yang benar, dan kaya dengan amal ibadah untuk bekalan di akhirat nanti. Ingatlah, kita juga tidak tahu bila masa kita akan kembali kepadaNya.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hapsah binti Nordin yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga ruhnya dicucuri rahmat, aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah..


Sunday 1 April 2012

Hebatnya Abah

Alhamdulillah Jumaat lepas berkesempatan menghantar abah & mak ke KLIA untuk mengerjakan umrah. Yang pastinya, mereka sangat seronok kali ni. Kalau sebelum ni abah pergi haji & umrah bersendirian untuk bertugas, mak pula pernah pergi haji, pun berseorangan, tapi kali ni mereka dapat pergi ke tanah suci bersama-sama. Lebih menarik rombongan disertai oleh paman, bibik, wak, kak Ani & ramai rakan-rakan kelas agama mak. Alhamdulillah.. walaupun saya tak merasainya, tapi saya pasti mereka sangat seronok pergi beramai-ramai.

Mereka semua pergi di bawah kumpulan Zahafiz Travel. Seperti biasa, abah akan sibuk menguruskan para jemaah. Sebagai seorang petugas, abah kena pastikan semua berjalan lancar, dan memang abah lah orang terakhir yang 'check-in'. Memang rezeki abah murah, sudah beberapa kali pergi haji & umrah.

Abah memberikan taklimat umrah kepada para jemaah sebelum 'check-in'
Tercapai juga hasrat mak untuk pergi umrah bersama abah dan rakan-rakannya

Sebelum semua bergerak, masing-masing bersalaman dan berpelukan. Mendoakan setiap ahli keluarga yang pergi dikurniakan kesihatan dan keselamatan sepanjang 2 minggu berada di sana. Kami juga tidak melepaskan peluang berpeluk & mencium abah & mak. Tapi apa yang menariknya, ramai yang mencium abah. Memang ramai yang sayangkan abah. Abah bukanlah orang biasa, abah memang seorang yang hebat!!

Teringat segala pengorbanan abah membesarkan kami berlima. Abah minat kereta, banyak kali juga abah tukar kereta. Hehe.. mungkin itu salah satunya yang dapat diwarisi kepada saya. Abah seorang yang gigih dan kuat semangat, dari mengajar di sekolah, dia dinaikkan pangkat ke Kementrian Pendidikan Malaysia. Waktu itu abah bertugas di Bangunan Bank Pertanian, KL. Seawal 5 pagi abah dah keluar memandu ke tempat kerja dan hanya sampai ke rumah waktu Maghrib. Oleh kerana jarak perjalanan agak jauh, kami berpindah ke Kg Sg Chincin, kampung mak. Waktu itu saya baru tamat sekolah rendah. Dapatlah juga merasa hidup di kampung.

Alhamdulillah tak lama selepas itu, permohonan abah untuk tukar tempat kerja diluluskan. Abah bertukar ke Jabatan Pendidikan Selangor di Shah Alam, menjadi seorang Penolong Pengarah Bahagian Agama. Jadi kami pun berpindah semula ke Banting sebab jarak dari Banting ke Shah Alam tidaklah jauh sangat. Abah bertugas di sana sehingga bersara. Sempat juga saya bekerja 'part-time' di sana semasa cuti semester UIA dulu. Walaupun berlainan jabatan, tapi saya tahu abah bukanlah orang sebarangan. Dia sangat dihormati oleh orang ramai.

Sepanjang abah bekerja, mak hanyalah suri rumah. Cuma ada seketika mak bekerja di kantin sekolah, SK Sri Langat (sekolah rendah kami semua) untuk membantu abah sedikit. Memang abah seorang yang menyara dan membesarkan kami semua. Walau sibuk bekerja, sewaktu saya berumur 6 tahun, abah melanjutkan pengajian di UKM. Waktu tu abah ulang alik naik motosikal je, Honda Raider. Sewaktu bekerja pun, abah gigih mencari rezeki untuk membesarkan kami semua. Abah pernah berniaga 'part-time', jual belacan. Waktu bulan puasa, abah & mak berniaga rempeyek. Mereka bersama-sama memasak, kemudian abah akan menghantar kepada pelanggannya. Tapi hanya beberapa tahun abah & mak berniaga rempeyek, sebab tak cukup masa. Yelah, mana nak memasak, membungkus, nak pergi solat Tarawih lagi.

Tapi dalam masa yang sama, sepanjang abah bekerja, abah mengajar kelas agama di waktu malam. Hampir setiap malam abah akan ke surau-surau sekitar Selangor. Bila usia semakin lanjut, abah hadkan dalam Kuala Langat sahaja. Kadangkala ada jemputan untuk abah beri ceramah di merata tempat. Abah memandu ke sana sini, tidak pernah pun abah mengeluh. Abah pernah menjadi imam besar dan nazir di Masjid Banting. Memang abah agak sibuk, kadang-kadang balik rumah sekejap sahaja, berehat sebentar dan besiap-siap semula untuk keluar.

Selepas bersara, abah banyak mengajar kelas agama. Abah juga dilantik sebagai penceramah kepada dua syarikat, Zahafiz Travel & Aliff Travel yang menguruskan jemaah haji dan umrah. Kini abah dah berumur 67 tahun, tapi abah tetap bersemangat mengajar dan menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Walaupun kadangkala abah tak sihat, tapi semangat abah tak pernah pudar.

Raya 2012 nanti kita bergambar ramai-ramai lagi ye semua
 Memang sangat besar pengorbanan abah. Sewaktu kami belajar, abah & mak tak pernah sekalipun lupa untuk melawat kami semua. Abah tak kisah untuk memandu ke Sabak Bernam, Bangi, Perak dan Seremban sekalipun, walaupun terpaksa berehat sebentar di masjid kerana keletihan. Tak pernah pun kami terputus duit belanja. Abah boleh memandu ke Kedah, Johor, Kelantan dan ke mana-mana sahaja untuk memberi kursus dan menyampaikan ilmu. Seketika saya terfikir, tak pernah sekalipun abah mengeluh dan berputus asa demi kami semua, jadi perlu ke untuk kami berputus asa? Mengeluh sebab letih? Kami kena sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik tanpa sebarangan alasan. Kalau abah boleh, mengapa kami tak boleh?

Dan seharusnya ketika ini, kita sebagai anak-anak dapat meluangkan masa dan beri lebih perhatian kepada mereka. Tapi malang selalunya kita terlalu sibuk dengan kerja, terikat masa dengan kerja. Jadi apa yang perlu kita buat? Ibubapa kita tak mengharapkan duit yang banyak, mereka hanya mahu kasih sayang dan perhatian dari kita. Alhamdulillah Allah dah beri saya jalan, cumanya saya perlu berusaha untuk seketika untuk memberi yang terbaik kepada abah & mak, dan juga kepada famili saya sendiri. Abah dan mak, doakan kami berjaya di dunia, supaya kami dapat membantu yang lain-lain, sebagai bekalan di akhirat nanti.

Semoga Allah memanjangkan umur dan memberikan kesihatan kepada abah & mak, supaya kami punya peluang dan masa untuk memberi yang terbaik kepada mereka. I LUV U ABAH & MAK!!

“Ya Allah! Ampunilah aku, kedua ibubapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil.”