Showing posts with label kaya. Show all posts
Showing posts with label kaya. Show all posts

Thursday, 5 April 2012

Perginya Seorang Ibu

Hari ini dah 5 April 2012. Sudah seminggu abah & mak berada di tanah suci mengerjakan umrah. Tapi ketika mereka baru 3 hari di sana, kami di sini dikejutkan dengan sebuah berita sedih. Satu-satunya nenek yang kepada adik-beradik saya yang masih ada, telah kembali ke rahmatullah pada petang 1 April 2012. Innalillahiwainnailaihirojiun..

Ketika berita diterima, kami sekeluarga baru sahaja memulakan perjalanan pulang ke Klang, dari kampung isteri di Sungai Besar Kami menerima berita sedih itu dengan tabah, tetapi teringat pula pada abah & mak di sana. Arwah nenek adalah mak kepada mak saya. Bagaimana hendak menyampaikan berita sedih ini kepada mereka?

Saya pun kuatkan semangat, telefon abah. Sewaktu itu mereka semua baru sahaja selesai mengerjakan solat Zuhur dan sedang menikmati makan tengahari. Mak menerima beri sedih ini dengan tabah. Nak pulang untuk meratap buat kali terakhir memang agak mustahil, cuma dapat kirimkan doa buat arwah nenek dari sana.

Arwah nenek meninggalkan kami pada usia 92 tahun. Dalam adik-beradik saya, hanya abang Jeff yang sempat mengenali arwah datuk. Alhamdulillah Allah kurniakan umur yang panjang buat arwah nenek. Di hujung usianya, arwah nenek dah tak mampu bercakap. Kalau semasa sihat dulu, memang longhat minang lah yang digunakan. Sampai saya pun terikut-ikut kalau berbual dengan nenek. Kalau ada masa lapang sewaktu belajar di UIA dulu, saya akan melawat nenek. Kadang-kadang ada rakan yang mengikut sekali, tapi yang seronoknya masing-masing tak boleh apa yang arwah nenek bualkan. Mana taknya, loghat minang arwah nenek memang pekat, yang datang pula orang Shaq (Penang), Bob (Johor), Nasir (Kelantan) dan lain-lain. 'Mat, tok hang cakap apa?' tanya Shaq. Haha.. expert sangat bahasa Utara sampai yang lain tak faham.

Dari kiri - Pak Long, Mak Lang, arwah Datuk, Mak, arwah Nenek, Mak Tam, Mak Anjang & arwah Pak Ngah (gambar kredit untuk Mamat sepupuku)
Bila bercakap berkenaan usia arwah nenek, memang satu usia yang agak jarang dimiliki pada zaman sekarang. Tapi apa yang saya nampak, sebenarnya Allah dah bagi ruang yang banyak pada anak-anak dan cucu-cucunya, mungkin kesempatan untuk berbakti kepadanya, sebagai membalas jasanya membesarkan anak-anak. Semasa muda, arwah nenek hanya membuat kerja-kerja kampung, dia pernah mengambil upah bekerja di rumah orang, bercucuk tanam, bersawah dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, dia akan berusaha untuk memastikan anak-anaknya membesar dengan sempurna. Alhamdulillah saya dapat mengenali nenek sejak dia masih sihat, bertongkat, berpapah, hinggalah ke hujung usianya.

Itu cerita arwah nenek, bagaimana dengan mak kita sendiri? Adakah kita tahu bila saat terakhir ibubapa kita? Adakah kita telah beri yang terbaik buat mereka? Adakah kita terlalu asyik dengan aktiviti harian kita sahaja? Setakat mana yang telah kita berikan kepada orang yang telah bersusah payah membesarkan kita? Berapa banyak masa yang dapat kita luangkan bersama mereka tatkala kita sibuk bekerja? Berapa banyak duit belanja yang kita berikan kepada mereka tatkala kita pening nak membayar hutang sendiri? Pernah ke mereka kata - 'Duit belanja kamu abah & mak bagi bulan depanlah ye, bulan ni banyak benda nak kena bayar'. Adakah RM500 yang kita kirimkan kepada ibubapa kita setiap bulan itu cukup? Cuba bahagi dengan 30 hari dan bandingkan dengan berapa banyak perbelanjaan harian kita? Itupun kalau RM500, kalau kurang dari itu berapa sangatlah yang kita beri sebenarnya?

Kalau ketika ini kita dapat luangkan masa dengan mereka saat diperlukan, atau dapat memberi tanpa sebarangan rungutan, Alhamdulillah. Tapi kalau rasa masih banyak yang perlu diperbaiki, buatlah sesuatu. Sesuatu yang mungkin boleh memberi ruang kepada kita untuk luangkan masa bersama mereka. Saya hendak jadi kaya, kaya dengan masa supaya dapat diluangkan bersama orang-orang yang tersayang, kaya dengan harta supaya boleh berbakti kepada orang yang memerlukan, kaya dengan ilmu supaya dapat membantu dan membimbing orang ke jalan yang benar, dan kaya dengan amal ibadah untuk bekalan di akhirat nanti. Ingatlah, kita juga tidak tahu bila masa kita akan kembali kepadaNya.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hapsah binti Nordin yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga ruhnya dicucuri rahmat, aman di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah..


Friday, 27 January 2012

Perlu Ke Jadi Kaya? (Bhg 2)

Kalau sebelum ni saya berkongsi cerita mengenai tokoh usahawan Melayu, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary yang banyak memberi sumbangan dan amal jariah melalui kekayaannya, kali ini saya nak kongsi cerita mengenai tokoh usahawan bukan Islam. Tapi apa hebatnya mereka ni?

Bill Gates
Pada bulan Jun 2008, Bill Gates telah membuat pengumuman akan meninggalkan sebahagian hartanya yang bernilai USD58 billion untuk tujuan KEBAJIKAN dalam wasiatnya. Wang tersebut akan diletakkan dalam 'Bill & Melinda Gates Foundation', untuk membiayai kajian kesihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia.

'We want to give it back to society in the way that it will have the most positive impact, I want to make a positive contribution to the world' - Bill Gates
Yayasan tersebut telah menyumbangkan USD21.1  juta sepanjang tiga tahun lalu untuk penyelidikan bagi mengesan dan merawat penyakit secara serta merta di kawasan terpinggir negara-negara mundur dan berpotensi menyelamatkan lebih banyak nyawa tanpa menunggu lebih lama. Malah, Bill Gates masih bertahan sebagai orang terkaya di Amerika Syarikat walaupun sebahagian hartanya telah dibelanjakan untuk yayasan tersebut!

'Because of that money, the poorest infants in the world will start receiving the same vaccines that infants that rich countries receive' - Bill Gates

Warren Buffet
Warren Buffet juga telah membuat derma amal kepada yayasan tersebut untuk tujuan yang sama. Jumlah yang didermakan bukannya kecil, ianya adalah 85% daripada jumlah kekayaannya yang berjumlah USD44 billion! Apa yang lebih menarik, beliau mahu sumbangannya itu digunakan pada tahun tersebut dan tidak mahu ditangguh-tangguh.

'Price is what you pay. Value is what you get' - Warren Buffet
Mungkin ada agenda mereka tersendiri, tapi lebih baik kita lihat dari sudut positif. Setelah menolak andaian-andaian negatif dan meneliti dengan lebih lanjut, barulah saya faham secara rasional bahawa falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan keluarga mereka. Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu BANYAK kepada anak-anak, kerana ianya akan membebankan dikemudian hari. Falsafah mereka - tinggalkan secukup-cukup sahaja namun anak-anak masih perlu terus berusaha!

Alangkah seronoknya menjadi kaya, boleh membuat kebajikan sebanyak mungkin. Nahh.. mereka membelanjakan harta mereka untuk manfaat orang lain. Tapi itu cerita orang kaya. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita ada peluang untuk lakukan kebajikan seperti mereka? Hmm.. pasti ada jalannya! Pokok pangkalnya NAK atau tidak. Tapi kalau untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga pun tak cukup, mungkin ianya hanya mimpi sahaja! Jadi apa yang perlu kita buat? BERTINDAKLAH dari sekarang! Jangan sampai dah berada di liang lahat nanti baru menyesal dan terfikir - Cukup ke apa yang aku tinggalkan untuk anak-anak dan keluarga yang tinggal? Kenapalah dulu aku tak mampu nak buat amal jariah?

Monday, 23 January 2012

Perlu Ke Jadi Kaya? (Bhg 1)

Dulu selalu saya bertanya kepada diri sendiri, perlu ke jadi kaya? Kadangkala kita akan berfikir - 'Cukuplah dengan apa yang ada, Alhamdulillah syukur dengan kurniaan Allah'. Ya memang betul, tapi betul ke dah cukup? Bagaimana pula dengan ibubapa kita? Orang sekeliling kita?

Bila bercakap pasal kaya, saya suka nak kongsi beberapa petikan ayat dari idola saya, dan juga idola kepada ramai orang Melayu - Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari. Siapakah beliau? Hmm.. sangat-sangat rugi kalau anda tak kenal.


Antara kata-kata beliau, seorang usahawan dan jutawan yang hanya berkelulusan SPM sahaja..

* Tuhan memberi PELUANG kepada siapa saja yang BEKERJA KUAT. Apa yang ada pada saya adalah USAHA. Kalau anak dangau macam saya boleh, tiada sebab terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

* Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan SIKAP dan CARA KITA BERFIKIR. GIGIH, TEKUN dan TIDAK MUDAH PUTUS ASA merupakan kunci kejayaan. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

* Kita jangan cepat PUTUS ASA. Putus asa boleh tapi cepat-cepat kuatkan semula SEMANGAT untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab IBADAH adalah TUGAS seharian.

* Sikap PEMALAS dan PEMALU ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena BERANI KERANA BENAR. Apabila kita mendapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita MENOLONG ORANG.

* Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka BERUSAHA dengan TEKUN. Tetapi tentulah ianya memakan masa. TIADA JALAN SINGKAT.


* Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh DIBANTU. Allah beri kita rezeki untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila boleh ditarik balik.

* KAYA itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada BANGSA dan kepada ORANG RAMAI.

* Saya perlu TERUS mencari PELUANG dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing.

* Orang Melayu sebenarnya kena MEMBANTU DIRI SENDIRI, kena BEKERJA KERAS dan FOKUS.

* Saya sendiri pun BERHUTANG sambil berniaga dan buat SUMBANGAN amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun saya tak sempat buat.

* Kalau kerana sedikit BANTUAN itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

p/s: Kan bagus kalau kita menjadi kaya kan? Asalkan jangan lupa tugas kita sebagai KHALIFAH di muka bumi Allah ini.