Sunday 1 April 2012

Hebatnya Abah

Alhamdulillah Jumaat lepas berkesempatan menghantar abah & mak ke KLIA untuk mengerjakan umrah. Yang pastinya, mereka sangat seronok kali ni. Kalau sebelum ni abah pergi haji & umrah bersendirian untuk bertugas, mak pula pernah pergi haji, pun berseorangan, tapi kali ni mereka dapat pergi ke tanah suci bersama-sama. Lebih menarik rombongan disertai oleh paman, bibik, wak, kak Ani & ramai rakan-rakan kelas agama mak. Alhamdulillah.. walaupun saya tak merasainya, tapi saya pasti mereka sangat seronok pergi beramai-ramai.

Mereka semua pergi di bawah kumpulan Zahafiz Travel. Seperti biasa, abah akan sibuk menguruskan para jemaah. Sebagai seorang petugas, abah kena pastikan semua berjalan lancar, dan memang abah lah orang terakhir yang 'check-in'. Memang rezeki abah murah, sudah beberapa kali pergi haji & umrah.

Abah memberikan taklimat umrah kepada para jemaah sebelum 'check-in'
Tercapai juga hasrat mak untuk pergi umrah bersama abah dan rakan-rakannya

Sebelum semua bergerak, masing-masing bersalaman dan berpelukan. Mendoakan setiap ahli keluarga yang pergi dikurniakan kesihatan dan keselamatan sepanjang 2 minggu berada di sana. Kami juga tidak melepaskan peluang berpeluk & mencium abah & mak. Tapi apa yang menariknya, ramai yang mencium abah. Memang ramai yang sayangkan abah. Abah bukanlah orang biasa, abah memang seorang yang hebat!!

Teringat segala pengorbanan abah membesarkan kami berlima. Abah minat kereta, banyak kali juga abah tukar kereta. Hehe.. mungkin itu salah satunya yang dapat diwarisi kepada saya. Abah seorang yang gigih dan kuat semangat, dari mengajar di sekolah, dia dinaikkan pangkat ke Kementrian Pendidikan Malaysia. Waktu itu abah bertugas di Bangunan Bank Pertanian, KL. Seawal 5 pagi abah dah keluar memandu ke tempat kerja dan hanya sampai ke rumah waktu Maghrib. Oleh kerana jarak perjalanan agak jauh, kami berpindah ke Kg Sg Chincin, kampung mak. Waktu itu saya baru tamat sekolah rendah. Dapatlah juga merasa hidup di kampung.

Alhamdulillah tak lama selepas itu, permohonan abah untuk tukar tempat kerja diluluskan. Abah bertukar ke Jabatan Pendidikan Selangor di Shah Alam, menjadi seorang Penolong Pengarah Bahagian Agama. Jadi kami pun berpindah semula ke Banting sebab jarak dari Banting ke Shah Alam tidaklah jauh sangat. Abah bertugas di sana sehingga bersara. Sempat juga saya bekerja 'part-time' di sana semasa cuti semester UIA dulu. Walaupun berlainan jabatan, tapi saya tahu abah bukanlah orang sebarangan. Dia sangat dihormati oleh orang ramai.

Sepanjang abah bekerja, mak hanyalah suri rumah. Cuma ada seketika mak bekerja di kantin sekolah, SK Sri Langat (sekolah rendah kami semua) untuk membantu abah sedikit. Memang abah seorang yang menyara dan membesarkan kami semua. Walau sibuk bekerja, sewaktu saya berumur 6 tahun, abah melanjutkan pengajian di UKM. Waktu tu abah ulang alik naik motosikal je, Honda Raider. Sewaktu bekerja pun, abah gigih mencari rezeki untuk membesarkan kami semua. Abah pernah berniaga 'part-time', jual belacan. Waktu bulan puasa, abah & mak berniaga rempeyek. Mereka bersama-sama memasak, kemudian abah akan menghantar kepada pelanggannya. Tapi hanya beberapa tahun abah & mak berniaga rempeyek, sebab tak cukup masa. Yelah, mana nak memasak, membungkus, nak pergi solat Tarawih lagi.

Tapi dalam masa yang sama, sepanjang abah bekerja, abah mengajar kelas agama di waktu malam. Hampir setiap malam abah akan ke surau-surau sekitar Selangor. Bila usia semakin lanjut, abah hadkan dalam Kuala Langat sahaja. Kadangkala ada jemputan untuk abah beri ceramah di merata tempat. Abah memandu ke sana sini, tidak pernah pun abah mengeluh. Abah pernah menjadi imam besar dan nazir di Masjid Banting. Memang abah agak sibuk, kadang-kadang balik rumah sekejap sahaja, berehat sebentar dan besiap-siap semula untuk keluar.

Selepas bersara, abah banyak mengajar kelas agama. Abah juga dilantik sebagai penceramah kepada dua syarikat, Zahafiz Travel & Aliff Travel yang menguruskan jemaah haji dan umrah. Kini abah dah berumur 67 tahun, tapi abah tetap bersemangat mengajar dan menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Walaupun kadangkala abah tak sihat, tapi semangat abah tak pernah pudar.

Raya 2012 nanti kita bergambar ramai-ramai lagi ye semua
 Memang sangat besar pengorbanan abah. Sewaktu kami belajar, abah & mak tak pernah sekalipun lupa untuk melawat kami semua. Abah tak kisah untuk memandu ke Sabak Bernam, Bangi, Perak dan Seremban sekalipun, walaupun terpaksa berehat sebentar di masjid kerana keletihan. Tak pernah pun kami terputus duit belanja. Abah boleh memandu ke Kedah, Johor, Kelantan dan ke mana-mana sahaja untuk memberi kursus dan menyampaikan ilmu. Seketika saya terfikir, tak pernah sekalipun abah mengeluh dan berputus asa demi kami semua, jadi perlu ke untuk kami berputus asa? Mengeluh sebab letih? Kami kena sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik tanpa sebarangan alasan. Kalau abah boleh, mengapa kami tak boleh?

Dan seharusnya ketika ini, kita sebagai anak-anak dapat meluangkan masa dan beri lebih perhatian kepada mereka. Tapi malang selalunya kita terlalu sibuk dengan kerja, terikat masa dengan kerja. Jadi apa yang perlu kita buat? Ibubapa kita tak mengharapkan duit yang banyak, mereka hanya mahu kasih sayang dan perhatian dari kita. Alhamdulillah Allah dah beri saya jalan, cumanya saya perlu berusaha untuk seketika untuk memberi yang terbaik kepada abah & mak, dan juga kepada famili saya sendiri. Abah dan mak, doakan kami berjaya di dunia, supaya kami dapat membantu yang lain-lain, sebagai bekalan di akhirat nanti.

Semoga Allah memanjangkan umur dan memberikan kesihatan kepada abah & mak, supaya kami punya peluang dan masa untuk memberi yang terbaik kepada mereka. I LUV U ABAH & MAK!!

“Ya Allah! Ampunilah aku, kedua ibubapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil.”