Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Friday, 24 February 2012

Charity Day 19/02/2012

Syukur alhamdulillah.. Apa yang dirancang bersama rakan-rakan telah berjaya dilaksanakan. Syabas rakan-rakan yang HEBAT kerana membantu kami melaksanakannya. Juga ribuan terima kasih yang tak terhingga kepada para DERMAWAN yang bermurah hati memberi sumbangan. Bagi saya ianya bukanlah sekadar sumbangan tapi adalah BEKALAN AKHIRAT!!

Program bermula pada jam 12 tengahari. Kami berkumpul di Bintang Sidewalk Cafe, Seksyen 7, Shah Alam. Walaupun dalam cuaca yang panas terik, ramai rakan-rakan yang hadir untuk memberi sokongan. Ada juga yang datang memberi sumbangan (terima kasih 2 orang rakan perempuanku yang datang semata-mata nak bagi sumbangan!!).

Syahril (2 dari kanan) tersengih gembira dapat join sekali, kalau tak sebelum ni sibuk bekerja je

Siti (3 dari kanan) yang sentiasa bertenaga ke sana sini
Inilah antara yang hadir 'lunch' sekali, belakang saya tu mr sifu Sim (bukan nama sebenar) yang banyak mengajar erti kehidupan
Selesai lunch, kami solat Zuhur bersama-sama di surau berdekatan. Ada juga yang tiba di saat-saat akhir (memang betul punya sudden death ni). Sebelum bergerak ke lokasi, sempat la bergambar sebagai kenang-kenangan.

Sebahagian dari sumbangan barang makanan dari rakan-rakan, TQ Ms P!
Azwan (Pegawai JPS) yang tak pernah kering gusi cuba membuat gangguan pada Tun (Pegawai JPJ)
Alhamdulillah lebih 60 orang dapat kami kumpulkan pada hari ini
Alhamdulillah kurang dari setengah jam kami berkonvoi, kami tiba di lokasi. Ada juga yang terlepas sampai ke Setia Alam!! Hehe.. apa nak buat dah ramai-ramai mesti ada yang tercicir punya. Tapi yang bagusnya, walaupun tak pernah sampai Klang (yang sesat tu asal dari Kelantan), dia usaha juga dan berjaya sampai ke lokasi!

Sebahagian dari 25 buah kereta yang menyertai konvoi, menunggu sebahagian lagi rakan-rakan di Jalan Hj Musran, Kg Rantau Panjang, Klang
Setelah siap meletakkan kenderaan masing-masing, kami pun berjalan ke MADRASAH 'ULUMULQURAN WAL AHADITH. Agak terharu apabila kehadiran kami disambut oleh sebahagian pelajar yang 'jaga trafik' dan sebahagian lagi berbaris menanti kehadiran kami.

Sebahagian pelajar yang menanti kehadiran kami, rasa sangat TERHARU!!

Menerima sambutan yang sangat MERIAH dari pihak madrasah!!
Selesai sesi bersalaman dan berkenalan, kami dijemput ke surau madrasah (yang dibina dari gabungan 4 buah kabin sumbangan orang ramai). Saudara Amran (wakil madrasah) memberikan sedikit penerangan mengenai madrasah dan berkongsi ilmu dengan kami. Apa yang menariknya, di sini kami dapat mengetahui yang madrasah ini ditubuhkan dan dibina atas dasar KERJASAMA demi KEBAJIKAN untuk AGAMA, bukanlah untuk keuntungan sebagaimana yang kita dengar selama ini. MasyaAllah, sangat mulia usaha mereka. 

Saudara Zack juga telah menyampaikan sedikit ucapan bagi pihak kami yang hadir. Selepas itu, kami menyampaikan sumbangan dari rakan-rakan yang telah berjaya kami kumpulkan. Alhamdulillah.. amanah kalian (para dermawan) dapat kami sempurnakan.

Saudara Amran, antara tulang belakang madrasah ini. Disebelahnya (berkopiah putih) adalah Roslan, rakan saya di tempat kerja dahulu
Zack, dahulunya hanya seorang technician, tapi kini mempunyai kehidupan yang lebih bermakna, memberikan sedikit ucapan bagi pihak kami



Walau tak banyak mana yang mampu kami kumpulkan, diharap sedikit sebanyak dapat membantu pihak madrasah
Sementara menanti waktu Asar, kami meluangkan masa melawat sekitar kawasan madrasah dan beramah mesra bersama para pelajar. Dari apa yang kami faham, kawasan ini adalah kawasan pembangunan Islam satu ketika dahulu, dan kini mereka hendak mengembalikan semula zaman kegemilangan dahulu.

Masih banyak bantuan yang diperlukan oleh pihak madrasah. Semoga ada pihak lain yang akan juga memberikan bantuan kepada mereka.

Abg Akasha bersama para pelajar

Inilah tempat penginapan untuk 40 orang pelajar. Segala katil dan locker adalah sumbangan orang ramai.
Hanya ini yang ada untuk para pelajar mandi dan membersihkan diri. Insyaallah pasti ada pihak yang akan membantu untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk mereka.
Selesai solat Asar berjemaah, kami meluangkan masa bersama-sama untuk sesi minum petang. Sebenarnya kami dah merancang untuk minum petang di tempat lain kerana tak mahu menyusahkan pihak madrasah, tapi Allah dah tentukan rezeki kami di sini, Alhamdulillah. Bagi saya ini adalah minum petang yang sangat berbaloi kerana kami bukan sekadar minum tapi turut mendapat perkongsian ilmu dari salah seorang rakan kami, Ustaz Hafiszi.


Ustaz Hafiszi, seorang guru dan usahawan yang juga memiliki sebuah francais Genuis Aulad

Inilah tempat beriadah para pelajar memandangkan tiada padang di kawasan ini

Antara yang dapat dikongsi oleh Ustaz Hafiszi adalah ;
1. Berjaya dalam hidup bukanlah pilihan tapi adalah KEMESTIAN kepada semua orang
2. Sebagai umat Islam, kita sangat dituntut untuk mencari KEKAYAAN sebanyak mungkin kerana dari situ kita dapat bantu AGAMA.
3. Jangan hanya MENUNGGU dan mengharapkan BANTUAN sahaja dari pihak-pihak tertentu.

Sebelum berpisah, sempat juga kami bergambar bersama-sama para pelajar, tenaga pengajar dan AJK madrasah. Seakan berat kaki untuk meninggalkan madrasah ketika itu. Harapan kami agar lebih ramai lagi yang akan hadir untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada mereka ini, yang berjuang untuk kebajikan, di atas nama Allah.






Sesungguhnya program ini telah membuka minda kami yang selama ini terlalu sibuk dengan tugas harian, hingga lupa tanggungjawab sebagai seorang KHALIFAH di muka bumi ini. Bak kata Ustaz Hafiszi, membantu agama adalah KEWAJIPAN kita semua. 

Terlalu banyak perkara yang saya pelajari. Tapi apa yang paling berharga, program ini berjaya menggabung 3 perkara yang kita akan bawa selepas mati nanti - doa anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah. Apapun, saya berharap ini adalah titik permulaan kepada saya, juga kepada kita semua, untuk sentiasa berbakti kepada masyarakat.

Bagi yang berminat untuk membuat sumbangan jariah, boleh hubungi Saudara Roslan (016-2446567) atau salurkan terus sumbangan anda ke akaun ;

MADRASAH 'ULUMULQURAN WAL AHADITH
MAYBANK 562469308464

 NO.1667 LORONG HJ NAKMAN KADIS
JALAN HAJI MUSRAN
KG RANTAU PANJANG
41200 KLANG
SELANGOR DARUL EHSAN

Semoga satu hari nanti saya akan menjadi JUTAWAN yang DERMAWAN dan BERIMAN!! 

InsyaAllah amin..

Tuesday, 31 January 2012

Terpaksa atau Pilihan Sendiri?

Alhamdulillah hari Ahad lepas berkesempatan ke Masjid Negeri mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus (terima kasih pada seorang kawan - Faizal yang mengajak ke sana). Keadaan perkarangan dalam dan luar masjid penuh dengan kenderaan orang ramai yang tak mahu lepaskan peluang mendengar kuliah dari beliau (lebih ramai dari yang melepak di dataran,hehe..). Oleh kerana terlalu ramai, kami dapat solat dan menonton kuliah menerusi skrin di bawah sahaja, ok lah tu kan yang penting ilmu yang disampaikan.


Kuliah malam tu berkisah tentang 'TAUHID ULUHIYAH'. Banyak la perkara baru yang dapat kami pelajari, selain dari 'menyegarkan' kembali ilmu-ilmu yang mungkin kita telah pelajari sebelum ni, samada secara langsung atau tidak. Sebahagian daripadanya ;


1. Jangan sesekali putus asa dalam mengerjakan amalan - Mungkin dalam kita menjalani kehidupan harian, banyak kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan. Walau sebesar manapun kesalahan kita, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun, pintu pengampunanNya adalah seluas langit. Sentiasa lah memohon taubat darinya.

2. Allah tidak hanya memandang pada zahir pada setiap amalam - Jika kita melakukan sesuatu ibadah, kebajikan, kerja dan sebagainya, lakukan dengan penuh ikhlas. Jangan kerana sesuatu sebab barulah nak buat bersungguh-sungguh.

3. Orang yang taat pada Allah dan RasulNya adalah orang yang benar-benar menang - Mungkin kita menghadapi kegagalan dalam pelajaran, kerja, perniagaan dan sebagainya, tapi sekiranya kita melakukan setiap perkara dengan niat kerana Allah, mungkin kita hanya kalah pada perkara itu tapi sebenarnya telah menang disisi Allah, kerana setiap yang berlaku itu hanya dengan kehendakNya.

4. Para ulama mengatakan ada empat perkara utama untuk seseorang itu layak masuk ke syurga - IMAN, ILMU, AMAL & IKHLAS.

5. Tugas syaitan adalah untuk mengganggu manusia kerana itu adalah janji mereka kepada Allah dan mereka tidak pernah berputus asa - Sedar tak sedar kadangkala ada perkara yang kita terdetik ketika bersolat, sebenarnya itu adalah angkara syaitan yang telah berjaya mengganggu kita secara halus.

6. Buat sesuatu amalan/kebajikan umpama orang membuang 'najis' - Tidak perlu dihitung berapa banyak yang kita dah belanjakan untuk kebajikan, biarkan ianya berlalu begitu sahaja, barulah datang ikhlas di dalam hati.

7. Sentiasa meminta pertolongan dari Allah, manusia/makhluk hanya dapat membantu, yang melaksana/menyembuhkan sesuatu adalah Allah.

8. Quran dan Hadis adalah penawar hati yang terbaik, tapi jangan baca sahaja, kena amalkan - Umpama ubat yang kita dapat dari doktor, kalau setakat kita baca apa isi kandungannya tapi tak dimakan memang tak berguna.

* Minta maaf saya tak dapat nak huraikan dengan baik, sekadar berkongsi ilmu di sini.

Selesai sesi kuliah Maghrib, ada sesi soal jawab dari jemaah yang hadir. Salah satu permasalahan yang ditujukan kepada Ustaz Azhar Idrus yang agak menarik minat saya ;

"Saya bekerja di syarikat milik isteri saya, gaji saya RM6,000 tapi saya hanya dibayar sebanyak RM3,000 kerana isteri khuatir saya akan kahwin lain"

Seperti yang di jangkakan, soalan ini disambut dengan ketawa dari seluruh hadirin, tapi yang paling menarik adalah jawapan dari beliau ;

"Jika kita setuju takpelah. Tapi kalau tak setuju, kerja lah dengan orang lain"

Hehe.. betul juga. Dalam hidup kita sentiasa ada pilihan, diri sendiri yang menentukannya. Kita yang menentukan hala tuju kehidupan kita. Mengapa perlu tunggu sedangkan terpaksa menanggung masalah? Adakah menunggu jalan menyelesaian yang mungkin akan hadir sendiri, atau kerana takut nanti takde duit? Bukankah rezeki itu datangnya dari Allah, majikan/bos kita hanyalah pengantara untuk menyampaikannya kepada kita.

Percayalah, jika baik mana sekali pun majikan kita, atau besar/kukuh mana sekali pun tempat kita bekerja, tapi kalau Allah tak izinkan rezeki untuk kita, pasti akan ada macam-macam masalah berlaku, betul kan? Jika tak suka, jangan nak mengeluh, memaki hamun, mengata belakang dan sebagainya, nanti dikhuatiri rezeki yang kita dapat itu tiada keberkatan kerana membuat kerja dengan tidak ikhlas. Tak suka? Ambil lah pilihan lain, jangan terus duduk menunggu sahaja sebab 'yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek'. Sentiasa yakin dan ingat bahawa Allah sentiasa akan membantu orang yang sentiasa berusaha.

p/s: kurang gemar apabila orang berkata 'dah ditakdirkan hidup saya macam ni nak buat macam mana'

Friday, 27 January 2012

Berpesan Sesama Manusia

Abu Hurairah R.A. berkata, Rasulullah S.A.W telah bersabda - 'Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan 3 perkara, iaitu ; Doa anak yang soleh, Amal jariah & Ilmu yang bermanfaat'

Apabila berkata mengenai ILMU YANG BERMANFAAT, satu ketika dulu saya terfikir, adakah saya perlu menjadi seorang guru atau pendidik untuk memberikan ilmu kepada orang lain? Sebenarnya TIDAK..

Apakah dia ilmu yang bermanfaat?
 Imam al-Ghazali menyatakan bahawa terdapat enam ciri ilmu yang bermanfaat ;
- menambahkan takut dirimu kepada Allah
- menambah penglihatanmu akan keaiban dirimu
- menambah makrifatmu dalam ibadah (keseronokan dalam beribadah)
- menambah kecintaanmu terhadap akhirat dan mengurangkan kecintaan kepada dunia
- membuka pintu hatimu untuk mengenali bermacam-macam penyakit amalmu sehingga engkau dapat menjauhinya
- menambahkan penglihatanmu terhadap tipu helah syaitan dan penipuannya sehingga engkau arif dengan kehalusan tipu helahnya ketik dia menyesatkan

Kita harus tahu apakah tugas kita di muka bumi Allah ini. Antaranya adalah berpesan-pesan benda yang baik sesama manusia supaya masing-masing mendapat manfaatnya. Jadi adalah bagus untuk kita berpesan atau berkongsi maklumat, ilmu dan sebagainya, supaya kita dapat perbaiki diri masing-masing. Jangan SOMBONG untuk berkongsi ilmu kerana segalanya adalah dari Allah, dan jangan pula SOMBONG untuk menerima teguran atau pendapat dari orang lain yang mana boleh memperbaiki diri anda. Kadangkala, orang lain lebih nampak akan diri kita, betul kan?

Biar walau sedikit mana pun ilmu yang kita kongsi dan sampaikan kepada orang lain, pasti Allah akan memberi ganjaran. Alhamdulillah saya dikurniakan dengan keluarga dan ramai rakan-rakan niaga yang sentiasa bersedia berkongsi ilmu, pengalaman dan berbagai idea, yang mana secara tak langsung telah mengubah diri saya untuk menjadi lebih baik. Bukankah itu telah memberi manfaat kepada pemberi dan penerima? Tepuk dada tanya selera..